'Makcik Cuma Nak Tahu Dia Ada Lagi Atau Tidak' - Ibu Penumpang MH370

"Memang makcik reda tetapi cuma hendak tahu sama ada anak saya masih ada atau sebaliknya."

Itu luahan ibu kepada salah seorang penumpang pesawat malang MH370, Mohamad Sofuan Ibrahim, Wan Tom Wan Chik ketika mengikuti sidang media Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengenai situasi terkini pesawat itu.

Wan Tom turut mengakui tidak pernah terlepas mengikuti perkembangan MH370 dan anaknya yang juga seorang pegawai di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

"Makcik sentiasa mengikuti perkembangan MH370, makcik benar-benar berharap ada berita baik mengenai pesawat ini," katanya.

Wan Tom dan keluarganya turut mengakui tidak pernah berputus asa dan sentiasa mendoakan keselamatan anak bongsu dari lima beradik itu kembali ke pangkuan keluarga walaupun telah 10 bulan peristiwa itu berlaku.

Mereka sekeluarga juga merancang untuk mengadakan majlis doa selamat dan bacaan Yasin pada cuti perayaan Tahun Baru Cina depan sebagai salah satu ikhtiar untuk menemukan Wan Tom dengan anak kesayangannya.

Lebih mengharukan, apabila Wan Tom sering teringatkan Mohamad Sofuan terutamanya menjelang hari lahir anaknya pada 16 Februari depan.

"Memang makcik selalu tengok gambarnya, sekarang makcik reda cuma makcik hendak tahu dia (Mohamad Sofuan) ini ada lagi atau tidak.

"Sedih memang sedih, makcik buat banyak-banyak solat hajat dan baca Yasin," jelasnya.

Wan Tom ditemui di rumahnya di Jalan Kota Tanah, Alor Setar ketika menantikan sesi sidang media daripada DCA di Putrajaya.

Bagaimanpun, Wan Tom turut kecewa apabila sidang media yang pada mula dijadualkan berlangsung kira-kira jam 3.30 petang itu dibatalkan dan diadakan pada pukul 6 petang.

Jabatan Penerbangan Awam (DCA) hari ini dengan rasminya mengisytiharkan bahawa kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 adalah satu kemalangan dan kesemua 239 penumpangnya dianggap terkorban.

No comments